Friday, August 20, 2010

TAMADUN DUNIA 9

CONTOH SOALAN:

TEMA 7: Bincangkan sumbangan Marco Polo dan Ferdinand Magellen kepada penjelajahan dan penerokaan.

Penjelajahan bermaksud mengelilingi atau berjalan ke merata-rata tempat atau daerah. Penerokaan pula bermaksud menyelidiki, menjelajah, menjalani, menempuh dan mengharungi segala persekitaran. Penjelajahan dan penerokaan kuasa-kuasa Barat pada abad ke-16 M diasaskan oleh tiga faktor utama, iaitu agama(Gospel), politik(Glory), dan ekonomi(Gold). Antara tokoh pelayaran Eropah yang terkenal pada zaman ini ialah Marco Polo dan Ferdinand Magellan. Mereka telah banyak memberikan sumbangan kepada Eropah malulai penjelajahan dan penerokaan yang dilakukannya.

Marco Polo dan Ferdinand Magellen merupakan dua orang tokoh pelayaran yang terkenal dan banyak memberikan sumbangan besar dalam bidang penjelajahan dan penerokaan. Marco polo merupakan seorang pedagang yang berasal dari kota Venice di Itali. Beliau memulakan ekspedisi pertamanya dengan menyertai bapanya Nicolo Polo dan bapa saudaranya Maffeo Polo ke China pada tahun 1271.

Antara sumbangan yang dapat dilihat dilakukan oleh Marco Polo ialah membuat catatan tempat-tempat yang dilawati. Antara tempat-tempat yang dilawati oleh beliau semasa ekspedisi penjelajahan ialah Sumatera, Sri Lanka, Koromandel, Gujerat, Hormoz dan Constantinople. Marco Polo banyak menulis catatan mengenai tempat-tempat dilawati, membuat catatan tentang pertanian, rempah ratus, pertukangan, penduduk dan agama masyarakat.

Seterusnya ialah, sumbangan dalam penulisan kitab pengembaraan. Marco Polo menulis sebuah kitab berjudul ‘The Travels of Marco Polo’ ketika berada dalam tahanan di Genoa. Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Sepanyol dan Inggeris. Buku penulisan Marco Polo ini kemudiannya menjadi sumber rujukan bagi pengembara-pengembara Eropah khususnya dari Negara Sepanyol dan Portugal untuk melakukan ekspedisi penjelajahan dan penerokaan ke dunia luar.

Marco Polo juga turut memberi sumbangan dalam geografi. Ini dapat dilihat dalam penghasilan buku oleh beliau sendiri. Ilmu mengenai geografi turut dimuatkan didalam buku atau kitab yang dihasilkan oleh Marco Polo. Segala ilmu dan maklumat tentang geografi yang dimuatkan didalam buku ini membantu para pengembara Eropah dalam menjalankan misi penjelajahan dan penerokaan dan ia juga mendorong kepada penghasilan peta dunia yang lebih tepat.

Tokoh yang seterusnya ialah Ferdinand Magellen. Ferdinand Magellen ialah seorang pelaut, ahli geografi dan pengembara yang berasal dari Portugal. Beliau terkenal kerana beliau adalah orang yang pertama berjaya mengelilingi dunia. Beliau memperoleh kemahiran pelayaran ketika berkhidmat sebagai wizurai Portugis di India selama tujuh tahun. Beliau mempunyai pengalaman pelayaran di sekitar kepulauan melayu, Laut China Selatan dan kepulauan rempah.

Ferdinand Magellen memberi sumbangan dalam ilmu kelautan dan pelayaran. Ini dapat dilihat dengan pengalaman beliau dalam menjadi wizurai dan memperoleh kemahiran pelayaran. Tambahan juga beliau memperkembangkan lagi penggunaan alat kelautan seperti carta pelayaran(peta), astrolob, kompas dan sebagainya. Hal ini menyebabkan alat-alat ini menjadi satu kepentingan bagi pengembara-pengembara diseluruh dunia.

Seterusnya, Ferdinand Magellen juga memberi sumbangan dalam penemuan jalan kapal atau jalan perdagangan yang baru. Ini dapat dilihat apabila beliau melakukan pengembaraan ke kepulauan rempah ataupun dikenali sebagai Filipina. Ini jelas menunjukkan bahawa beliau dapat meneroka laluan kapal yang baru dan ini dapat dibuktikan lagi dengan wujudnya Selat Magellen.

Selain itu, Ferdinand Magellen juga memberikan sumbangan dalam penemuan tempat baru. Antara tempat baru itu ialah Cape Virgins, kepulauan Aldrone, dan Filipina. Penemuan tempat-tempat baru ini telah menggalakkan aktiviti perdagangan hamba oleh Portugis di Filipina. Ia juga mendorong kepada pembukaan jaringan aktiviti perdangangan antara Portugis dengan Filipina.

Kesimpulannya, Marco Polo dan Ferdinand Magellen merupakan ahli pelayaran yang telah banyak memberikan sumbangan yang besar dalam bidang pelayaran penjelajahan dan penerokaan. Marco Polo telah memberikan sumbangan yang besar dalam mendedahkan maklumat tentang kekayaan peradaban timur kepada masyarakat Eropah manakala Ferdinand Magellen merupakan tokoh yang berjaya berlayar mengelilingi dunia dalam tempoh tiga tahun.

Saturday, August 14, 2010

TAMADUN DUNIA 8

CONTOH SOALAN:

TEMA 7: Soalan: bincangkan faktor-faktor penjelajahan dan penerokaan Portugal dan jelaskan perkembangan penjelajahan orang portugal sehingga abad ke-16.

Penjelajahan bermaksud mengelilingi atau berjalan ke merata-rata tempat atau daerah. Penerokaan pula bermaksud menyelidiki, menjelajah, menjalani, menempuh dan mengharungi segala persekitaran. Penjelajahan dan penerokaan kuasa-kuasa Barat pada abad ke-16 M diasaskan oleh tiga faktor utama, iaitu agama(Gospel), politik(Glory), dan ekonomi(Gold). Orang Portugis adalah bangsa terawal mempelopori pelayaran-pelayaran ke seberang laut pada abad ke-15 M.

Abad ke-15 M merupakan zaman keemasan bagi Portugal yang menyaksikan proses penjelajahan ke seberang laut untuk mencari keuntungan, kemegahan bangsa, raja dan negara serta menyebarkan agama Kristian. Antara faktor yang menyebabkan kejayaan ini ialah segi geografi. Ini kerana Portugal terdedah kepada pengaruh kelautan. Hal ini dibuktikan dengan pelayaran-pelayaran ke seberang laut oleh Portugal pada abad ke-15 M.

Selain itu, kapitalisme dan institusi perbankan menyebabkan keperluan untuk pasaran dan bekalan bahan mentah meningkat. Perkembangan sistem ekonomi kapitalisme mengalakkan kegiatan pengumpulan modal, hak milik persendirian dan persaingan dalam perniagaan. Ia juga menyebabkan Raja-Raja Negara Bangsa mempelopori perkembangan kapitalisme dengan tujuan mengaut kekayaan dan mengukuhkan kedudukan mereka.

Seterusnya, keadaan politik dan kekuasaan raja-raja di Portugal stabil berbanding Negara-negara Eropah lain. Raja-raja Portugak dari dinasti Avis (1383 M-1577 M) merupakan pemimpin yang berkaliber dan menggalakkan perdagangan dan perkapalan. Hal ini menyebabkan berlakunya perkembanganyang pesat dalam penjelajahan dan penerokaan bagi Negara Portugal.

Faktor lain yang menyebabkan penjelajahan dan penerokaan Portugal ialah perang Salib. Ekoran perang Salib, Paus merestui usaha membanteras kekuasaan sepenuhnya Semenanjung Iberia. Keadaan ini melahirkan masyarakat Eropah yang berfikiran terbuka, mempunyai cara pemikiran yang baru serta gaya hidup yang suka bersiar-siar dan belayar. Penaklukan wilayah Islam juga telah menyebabkan ilmu pelayaran Islam sampai kepada masyarakat Eropah dan membantu mereka menjelajah dunia luar.

Tambahan pula, kemajuan dalam penemuan-penemuan baru seperti carta pelayaran (peta), kompas, reka bentuk kapal, dan astrolabe mendorogn kepada penerokaan dan penjelajah. Dalam pembinaan kapal, orang Portugis mempunyai kemahiran membina kapal-kapal jenis Caravel seberat 2000tan. Kapal-kapal ini kuat dan mempunyai keupayaan mengharungi lautan luas.

Perkembangan penjelajahan orang portugis sehingga abad ke-16 M bermula dengan perdagangan hamba yang dilakukan oleh kapten-kapten yang dihantar oleh Putera Henry mendatangkan keuntungan. Menjelang tahun 1460 M, Portugis berjaya menguasai rangkaian pelabuhan-pelabuhan dari Madeira ke Cape Verda.

Seterusnya, kemunculan dua orang tokoh pelayar Portugis yang terulung, iaitu Diego Cam dan Bartholomew Diaz. Diego Cam belayar sejauh 1400 batu sepanjang pantai barat Afrika antara tahun 1482-1484 M. Pada tahun 1487 M, Bartholomew Diaz memulakan pelayaran dengan tiga buah kapal dan mengelilingi Tanjung Harapan.

Tambahan pula, Vasco de Gama melancarkan ekspidisi ke timur dengan empat buah kapal seberat 120 tan dan 180 orang pelaut. Pada tahun 1497 M, Vasco de Gama berjaya mengelilingi Tanjung Harapan dan belayar sepanjang pantai timur Afrika hingga ke Malindi. Kejayaan Vasco de Gama menyebabkan banyak kapal Portugis belayar ke timur untuk memperolehi lada hitam, sutera, batu permata dan rempah ratus.

Seterusnya, pada tahun 1504 M, Francisco d’Almedia dilantik sebagai wizurai Portugis. Beliau telah memulakan usaha-usaha menguasai jalan perdagangan dan menghapuskan monopoli perdagangan rempah oleh saudagar-saudagar Islam. Pada tahun 1505 M, Alfonso de Albuquerque dilantik sebagai wizurai. Beliau telah menjadikan Goa sebagai pusat pentadbiran. Dari Goa, Portugis meneruskan gerakan ke Asia Tenggara yang terkenal sebagai pusat pengeluaran rempah ratus.

Selepas itu, perkembangan penjelajahan orang Portugis diteruskan dengan satu angkatan Portugisyang diketuai oleh Lopez de Squera tiba di Melaka pada tahun 1508 M. Angkatan ini berundur dari Melaka setelah mengetahui rancangan Melaka menyerang mereka atas hasutan pedagang-pedagang Gujerat.

Konklusinya, faktor-faktor penjelajahan dan penerokaan Portugal telah banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan dari segi politik, ekonomi dan sosial. Perkembangan penjelajahan orang Portugis pula telah menyebabkan kepesatan kepada perdagangan, pengaruh dan empayar serta hubungan diplomatik antara Portugal dengan Negara lain.

Friday, July 16, 2010

TAMADUN DUNIA 7

CONTOH SOALAN:

TEMA 1: Bandingkan struktur organisasi sosial masyarakat dalam tamadun Mesopotamia dan Mesir Purba.

Organisasi sosial merupakan salah satu ciri yang melambangkan ketamadunan sesuatu masyarakat. Organisasi sosial merujuk kepada pembahagian anggota masyarakat mengikut struktur lapisan sosial yang mempunyai perbezaan dari segi kuasa, kekayaan , gaya hidup dan pekerjaan. Kemajuan dalam bidang pertanian telah menyebabkan lahir struktur organisasi sosial masyarakat kompleks di Mesopotamia dan Mesir Purba. Kewujudan organisasi sosial dapat dikesan dalam tamadun-tamadun awal seperti Mesopotamia dan Mesir Purba. Masyarakat di Mesopotamia dan Mesir Purba terbahagi kepada tiga lapisan, iaitu golongan atasan, golongan menengah dan golongan bawahan. Contoh golongan ialah raja, bangsawan, pendeta, pedagang, rakyat dan hamba.

Merujuk kepada hierarki organisasi sosial, golongan yang paling atas ialah raja atau firaun. Di tamadun Mesoptamia, raja mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam struktur sosial masyarakatnya. Raja mempunyai kuasa mutlak dalam bidang pentadbiran dan keagamaan. Raja juga memainkan peranannya sebagai ketua tentera, ketua pentadbir, dan ketua agama. Dalam bidang pemerintahan dan pentadbiran, raja melantik pembesar, menerima kunjungan diplomat-diplomat asing, dan melantik pengganti sebagai pewaris takhta. Dalam bidang ketenteraan pula, raja menjadi ketua tentera, merangka pelan ketenteraan dan memeriksa pasukan tentera dari masa ke semasa. Dalam bidang keagamaan pula, raja bertindak sebagai wakil tuhan dan ketua pendeta, mengawasi kerja-kerja pembinaan dan membaik pulih rumah berhala dan menjalankan upacar ritual diraja seperti takultu dan bit rimki.

Seterusnya, dalam organisasi sosial tamadun Mesir Purba, kedudukan yang paling atas ialah Firaun. Firaun memainkan peranannya sebagai tuhan yang melindungi rakyatnya. Firaun juga berperanan sebagai ketua pendeta, ketua pentadbir dan ketua hakim negara. Tambahan pula, firaun dianggap sebagai lambang keadilan (maat) yang berperanan memelihara keamanan dalam negara. Menjelang zaman dinasti ketiga dan keempat, firaun dianggap sebagai jelmaan tuhan Horus dan menjelang dinasti kelima, firaun dianggap tuhan matahari. Pada akhir dinasti kelima, firaun dianggap tuhan Horus dan akan menjadi tuhan Osiris selepas kematiannya. Pada zaman kerajaan baru pula, firaun dianggap jelmaan tuhan Menthu atau Baal.

Di bawah raja atau firaun, terdapat golongan bangsawan yang juga terdiri daripada golongan atasan. Di Mesopotamia, golongan bangsawan adalah golongan kedua tertinggi mengikut hierarki selepas raja. Golongan ini dikenali sebagai marbanuti. Tugas utama golongan ini adalah untuk membantu raja dalam sektor pentadbiran. Golongan ini terdiri daripada pegawai kerajaan, seperti panglima tentera, ketua pendeta, dan gabenor provinsi. Pegawai tinggi kerajaan seperti ketua komander, pembawa alat kebesaran diraja, dan penguasa istana bertindak sebagai penasihat raja. Ciri-ciri golongan bangsawan ialah menetap di rumah mewah di pusat bandar, mempunyai ramai pekerja, mendapat kekayaan daripada harta rampasan perang dan cukai daripada rakyat.

Dalam tamadun Mesir Purba, golongan bangsawan ataupun golongan menengah tinggi ini terdiri daripada pegawai tinggi kerajaan di peringkat pusat dan wilayah. Golongan ini menduduki hierarki ketiga selepas kerabat diraja. Antara golongan bangsawan dalam tamadun Mesir Purba ialah pengurus, pegawat penguasa, pendeta, dan pekerja. Dalam golongan ini, pegawai tinggi kerajaan yang paling berpengaruh ialah wazir yang bertanggungjawab memungut cukai, mengawasi kerja-kerja pembinaan, mengendalikan kes-kes wilayah dan menyambut duta asing. Wazir ini dilantik dari golongan bangsawan, kerabat diraja, dan pendeta. Golongan pendeta memainkan peranan dalam hal-hal keagamaan dan pelantikan raja atau firaun.

Seterusnya, selepas golongan bangsawan terdapat golongan profesional. Dalam tamadun Mesopotamia, golongan ini dikenali sebagai Ummane yang memainkan peranan dalam mengukuhkan kedudukan ekonomi negara. Golongan ini terdiri daripada pengusaha bank, pedagang, doktor, jurutulis dan golongan artisan. Golongan ini juga mempunyai persatuan mereka sendiri bagi menjaga kebajikan dan melindungi pekerjaan mereka. Tambahan pula, golongan ini mewarisikan pekerjaan ni kepada anak-anak mereka.

Di Mesir Purba, golongan profesional ataupun golongan menengah bawah ini terdiri daripada tentera, buruh raja (royal servants), tukang-tukang mahir dan petani. Bagi anggota tentera mereka dibenarkan memiliki pembantu rumah, dan mendapat harta rampasan perang, ganjaran, pangkat dan tanah milik raja. Buruh raja akan berkhidmat untuk raja dengan bekerja di lombong kuari, sektor pembinaan dan membuat tembikar. Golongan petani pada zaman kerajaan lama ditindas dan terikat kepada tuan tanah. Pada zaman kerajaan pertengahan pula, pemerintah memberikan piagam liberal kepada estet pertanian. Pada zaman kerajaan akhir, petani diberikan kebebasan dan tanah oleh raja. Tanah kurniaan raja boleh diwarisi tetapi tidak boleh dipindah milik.

Selepas golongan profesional, terdapat golongan paling bawah iaitu terdiri daripada golongan rakyat biasa dan hamba. Dalam tamadun Mesopotamia, golongan ini dikenali sebagai hupshi. Hupshi terdiri daripada askar, petani, dan hamba. Golongan hamba terdiri daripada tawanan perang dan orang berhutang yang boleh dijual beli. Golongan hamba diberikan layanan yang baik dan dibenarkan untuk memiliki harat da mempelajari kemahiran-kemahiran tertentu. Pada zaman Babylon, muncul kelas sosial yang dikenali sebagai Mushkennum. Golongan Mushkennum terdiri daripada rakyat biasa yang miskin dan tidak menikmati sebarang keistimewaan.

Dalam tamadun Mesir Purba pula, golongan hamba juga diletakkan dalam golongan bawahan. Golongan hamba Mesir Purba memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi dan sosial. Hamba tidak mempunyai kebebasan dan terdiri daripada tawanan perang. Mereka bekerja diladang-ladang milik raja atau rumah berhala.

Kesimpulannya, kemuculan organisasi sosial melambangkan kemajuan yang berlaku dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Kewujudan organisasi sosial melambangkan ketinggian peradaban masyarakat Mesopotamia dan Mesir Purba.

Tuesday, July 13, 2010

TAMADUN DUNIA 6

CONTOH SOALAN:

TEMA 1: Huraikan ciri-ciri pembandaran dalam tamadun Indus.

Bandar memainkan peranan yang penting dalam sesuatu tamadun. Bandar merujuk kepada sesuatu kawasan yang dihuni oleh ramai penduduk dan sebahagian besarnya boleh membaca dan menulis serta terlibat secara langsung dalam aktiviti perdagangan. Pertambahan penduduk dan peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian dalam sesuatu kampung boleh menyebabkan ia berkembang menjadi sebuah bandar. Antara bandar yang penting dalam tamadun awal ialah Mohenjo-Daro dan Harappa dalam tamadun Indus, serta Thebes, Memphis, dan Thinis dalam tamadun Mesir Purba. Bandar memainkan peranan penting sebagai pusat pentadbiran, pusat keagamaan, pusat perkembangan ilmu pengetahuan, dan pusat pertahanan dan pengangkutan. Bandar-bandar seperti Mohenjo-Daro dan Harappa adalah merupakan bandar terancang yang tertua di dunia dan ia dilengkapi dengan sistem perparitan dan saliran, sistem pembentungan, jaringan jalan raya dan rumah kediaman.

Ciri-ciri dalam pembandaran tamadun Indus yang paling diutamakan ialah bandar-bandar dibina secara terancang iaitu mengikut pelan yang sama. Bandar ini terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian kubu dan pusat bandar. Kubu didirikan di bahagian timur dan barat bandar bagi mengelakkan daripada serangan musuh dan mengatasi masalah banjir. Bahagian tengah bandar pula dilengkapi dengan kolam mandi besar, jelapang, kubu dan dewan perhimpunan. Bahagian pusat bandar ini meliputi kawasan seluas 2.5 kilometer persegi. Bangunan dibina dalam blok-blok empat segi di sepanjang jalan dan lorong-lorong di sekitar bandar itu.

Seterusnya, terdapat juga sistem jalan raya di bandar yang menjadi penghubung antara setiap kawasan bandar, rumah dan jalan ke luar bandar itu. Jalan-jalan ini dibina secara lurus dengan berukuran 14 meter lebar. Jalan-jalan dari utara ke selatan disilang oleh jalan-jalan lain pada sudut tepat dan berbentuk blok yang berukuran 365 x 182 meter. Penggunaan batu juga adalah diguna daripada batu bakar yang bermutu tinggi untuk tujuan pembinaan. Batu-batu mempunyai saiz yang standard, iaitu 280 x 140 x 70 milimeter.

Pembandaran tamadun indus juga mempunyai ciri-ciri seperti sistem pembentungan. Terdapat sistem pembekalan air dan pembentungan bagi rumah dan tempat mandi awam. Air dari rumah disalirkan ke dalam longkang besar menerusi longkang-longkang kecil. Longkang-longkang tertutup dibina di sepanjang jalan utama dan dilengkapi lubang pemeriksaan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan jika longkang tersumbat.

Selain itu, terdapat kolam mandi di pusat bandar. Kolam mandi besar ini dinamakan ‘The Great Bath’ memperlihatkan kemajuan tinggi dalam teknologi pembinaan. Tangga didirikan dikedua-dua belah kolam menuju ke dasar kolam. Tangga ini dibina dengan menggunakan batu dan disadurkan dengan bitumen. Keunikkan kolam ini adalah air takungannya boleh dikosongkan dan diisi semula atas tujuan pembersihan dan penambahbaikkan.

Tambahan pula, dalam pembandaran tamadun Indus, terdpat seni bina rumah yang teratur dimana rumah-rumah didirikan dalam satu deretan yang selari menghala dari utara ke selatan dan timur ke barat dalam blok-blok segi empat yang dipisahkan oleh jalan raya. Ciri-ciri rumah yang dibina adalah seperti mengikut pelan yang sama, rumah dibina mempunyai satu tingkat atau dua tingkat, mempunyai bumbung yang rata, saiz rumah juga berbeza, dan terdapat bilik tidur, serambi, bilik mandi dan perigi serta terdapat ruang antara rumah bagi menjamin peredaran udara. Rumah-rumah dibina dengan menggunakan batu bermutu tinggi. Terdapat juga rumah kongsi dan hamba yang dibina dalam satu deretan mengandungi dua bilik dengan keluasan 20 x 12 kaki persegi.

Ciri yang seterusnya ialah terdapat kemudahan-kemudahan awam. Terdapat banyak bangunan awam didirikan atas podium yang dibina daripada tanah liat didalam kubu. Antara bangunan awam yang didirikan dalam bandar ialah dewa perhimpunan, gudang bijirin, kolam mandi besar, pejabat pendeta, bilik mandi awam, dan tandas awam. Bandar-bandar ini dilengkapi dengan tempat mandi dan tandas awam berhampiran jalan-jalan utama.

Konklusinya, masyarakat di Lembah Sungai Indus mempunyai kemahiran yang tinggi dalam perancangan bandar. Bandar Mohenjo-Daro dan Harappa di Lembah Sungai Indus merupakan bandar yang terancang yang dibina berdasarkan pelan yang sama. Pembinaan bandar yang terancang jelas menunjukan tahap tamadun yang tinggi dicapai oleh masyarakat indus.

Tuesday, July 6, 2010

TAMADUN DUNIA 5

CONTOH SOALAN:

Tema 5: Bincangkan jenis-jenis kurikulum pendidikan yang dilaksanakan dalam tamadun awal manusia.

Istilah kurikulum berasal daripada perkataan Latin yangbermaksud jejak, laluan atau jurusan, kurikulum juga bermaksud jurusan pengajian yang diikuti di sekolah. Kurikulum bermatlamat melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai perkembangan menyeluruh meliputi aspek-aspek ekonomi, sosial, politik, jasmani, emosi rohani, estetika, dan etika. Kurikulum dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat rendah, peringkat menengah dan peringkat tinggi yang berlainan tujuan dan bidang serta isi kandungan pelajaran yang diajar di setiap peringkat. Jenis-jenis kurikulum yang diajar pula adalah seperti semi-saintifik dan sarjana, sastera dan kreatif, sistem peperiksaan, politik dan perubatan, agama, dan ketenteraan.

Jenis kurikulum semi-saintifik dan sarjana dapat ditunjukkan didalam tamadun mesopotamia. Kurikulum pendidikan ini adalah berasakan pengajian tentang maklumat mengenai zoologi iaitu mengenai haiwan, botani iaitu mengenai tumbuh-tumbuhan, geografi iaitu mengenai struktur permukaan bumi dan mineralogi mengenai sumber-sumber yang ada dimuka bumi seperti galian. Orang Sumeria juga menyediakan sifir-sifir matematik serta soalan matematik bersama jawapannya. Golongan yang mempelajari semi-saintifik dan sarjana ini adalah dari kumpulan pertama dalam tamadun mesopotamia.

Selain itu, jenis kurikulum lain ialah sastera dan kreatif. Ini dapat ditunjukkan dalam tamadun mesopotamia. Golongan yang mempelajari bidang ini adalah dari kumpulan kedua. Bidang ini memberi pengajian tentang bahasa, bacaan, menyalin karya-karya. Dalam bidang linguistik, orang Sumeria diklasifikasikan kepada beberapa kumpulan perkataan dan frasa. Kamus bahasa Sumeria dihasilkan pada zaman Akkadia. Aspek ini meliputi kegiatan membaca dan menyalin karya-karya sastera berbentuk mitos, cerita-cerita epik, lagu-lagu suci, himpunan esei, pepatah dan sifir.

Jenis kurikulum seterusnya ialah politik dan perubatan. Kurikulum ini dapat ditunjukkan didalam tamadun india. Dalam pengajian ilmu politik, buku Arthasastra yang dihasilkan oleh Kautilya digunakan sebagai sumber rujukan. Laskhmidara menghasilkan dua buah buku politik, iaitu Rajadharma dan Vyavahara manakala Chandesvara menghasilkan buku tentang Rajanithi. Dalam aspek perubatan, karya-karya perubatan klasik seperti Rajamrganka yang ditulis oleh Raja Bhoja da karya-karya berjudul Ayurvedadipika dan Bhanumathi yang dikarang oleh Chakrapanidatta digunakan sebagai rujukan. Terdapat juga doktor haiwan yang mempunyai kepakaran yang tinggi pada zaman Klasik. Orang india mempunyai kepakaran yang tinggi dalam pembedahan plastik sejak zaman klasik.

Seterusnya, kurikulum berasaskan sistem peperiksaan. Kurikulum ini dapat ditunjukkan dalam tamadun china. Sebelum pelajar dapat menduduki peperiksaan ini, mereka perlu mendapat pendidikan awal diperingkat rendah, menengah dan tinggi. Di peringkat rendah, murid akan mempelajari huruf-huruf penting dan menghafal sembilan buku suci iaitu ‘The Four Books’ dan ‘Five Classics’. Guru yang mengajar mereka terdiri daripada bekas pegawai kerajaan yang hilang pekerjaan atau pelajar yang gagal peperiksaan. Pelajar ini juga dikehendaki menghafal sejumlah 431,286 huruf dan menghafal teks-teks diluar kemampuan mereka tanpa memahami maksudnya. Di peringkat menengah pula, pelajar diberikan latihan menulis karangan,kesusasteraan dan pengkajian esei.

Setelah itu, di peringkat tinggi, pelajar akan menterjemah buku-buku suci dalam bahasa china moden, dan menjelaskan kandungan buku suci serta menulis esei. Selesai disemua peringkat ini, pelajar akan dibenarkan menduduki peperiksaan awam kerajaan. Pelajar yang lulus dalam peperiksaan awam ini akan diberikan ijazah yang terdiri dari tiga peringkat iaitu ijazah pertama setaraf dengan ijazah sarjana muda, ijazah kedua setaraf dengan ijazah sarjana, dan ijazah ketiga setaraf dengan doktor falsafah. Pelajar yang mendapat ijazah ini juga diberikan pekerjaan di sektor kerajaan mengikut kelayakan masing-masing.

Jenis kurikulum seterusnya ialah keagamaan. Kurikulum ini dapat ditunjukkan dalam tamadun arab dimana terdapat pendidikan berasaskan Al-Quran dan Hadis, subjek-subjek lain seperti sejarah, nahu, geografi, dan undang-undang juga diajar. Contoh, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda bahwa seorang yang mendidik hamba perempuan dengan baik akan menerima tiga pahala satu masa. Sekolah rendah diadakan di masjid dan istana. Kurikulumnya meliputi membaca, menulis, mengira, nahu, dan hadis. Manakala, di peringkat menengah pula ialah ilmu kalam, fiqah, syarahan, sastera dan sebagainya. Di peringkat tinggi, pelajar mempelajari berkaitan astronomi, geometri, falsafah, muzik, perubatan dan sains. Institusi pembelajaran selain Baitul Hikmah ialah Universiti Nizamiyah, Universiti Muntansiriyah, Universiti Al-Azhar dan Universiti Al-Zaitona.

Tambahan pula, jenis kurikulum yang dipelajari ialah kurikulum ketenteraan. Kurikulum ini dapat dilihat pada tamadun eropah iaitu dikota Sparta. Pada usia lapan hingga 18tahun, pelajar diberi latihan fizikal, melempar cakera, lembing dan bergusti serta memasuki pertandingan bertempur dengan musuh. Pada usia 19tahun, pelajar akan mempelajari tentang peperangan dan latihan menggunakan senjata dan cara bertempur. Peperiksaannya akan dibuat setiap 10hari. Mereka ini juga akan disebat di tempat penyembahan dewa untuk menguji kekuatan fizikal dan ketabahan. Pada umur 20tahun, pelajar akan ditunjukkan kehidupan militer yang sebenar dan disuruh hidup 10tahun dalam dunia peperangan dengan memburu binatang dan mengawal sempadan. Bagi kaum wanita pula, kurikulumnya hanya dirumah yang meliputi aktiviti berlari, melompat, melontar cakera dan lembing, bertinju, menari dan menyanyi.

Konklusinya, kandungan kurikulum menentukan bentuk masyarakat yang bakal dilahirkan dalam sesebuah tamadun. Pendedahan yang diberikan dalam setiap tamadun awal memberikan penekanan yang berbeza kepada aspek rohani dan jasman setiap individu. Jenis kurikulum yang diberikan dapat menentukan kehidupan seseorang individu atau sesuatu budaya masyarakat tersebut.


Untuk jenis kurikulum keagamaan, pelajar juga boleh mengambil contohnya daripada kurikulum melayu... seperti ini:

------- kurikulum keagaaman. Ditunjukkan dalam tamadun melayu diman kanak-kanak mendapat pendidikan tidak formal dirumah dan pendidikan formal dimasjid. Dimasjid, kanak-kanak mempelajari bacaan Al-Quran, mendalami ilmu fardu Ain dan menyanyi lagu Qasidah. Pada waktu malam pula, mata pelajaran yang diajar ialah fikah, usuluddin, tasawuf, hadis, tafsir dan subjek lain. Di Madrasah pula, kanak-kanak diajar membaca Al-Quran, tajwid, solat dan ibadat lain. Pelajar yang lulus akan meneruskan pengajian di lembaga-lembaga pendidikan yang dikenali sebagai rangkang. Kurikulum yang diajar ialah ilmu kalam, falsafah, tasawuf, tajwid, Al-Quran, hadis, tatabahasa arab dan lain-lain. Di sekolah pondok pula, pelajar akan mempelajari pengajian agama seperti nahu, fikah, Al-Quran dan Hadis nabi. Guru yang mengajar di sekolah pondok ini adalah mereka yang mendapat pendidikan di Mekah.

Thursday, May 20, 2010

TAMADUN DUNIA 4

CONTOH SOALAN:

TEMA 4: Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan kemunculan sistem ekonomi kapitalis sehingga abad ke-19.

Istilah ekonomi berasal daripada istilah Greek, Oikos dan Oikonomia yang bermaksud self-provisioning extended household. Pada asalnya, istilah ekonomi merujuk kepada pegurusan rumah tangga kerana keluarga adalah unit ekonomi yang paling asas dalam kegiatan bercucuk tanam dan pengeluaran. Selain itu, ekonomi juga muncul daripada asas dari sistem ekonomi sara diri. Ekonomi dapat dirumuskan sebagsi ilmu yang mengkaji tentang pengeluaran, pengagihan, pertukarn dan penggunaan barangan yang bersifat kekurangan dan beraneka jenis. Ekonomi kapitalis merujuk kepada galakan kepada kebebasan pasaran dan perniagaan kepada keuntungan.

Faktor-faktor yang menyebabkan kemunculan sistem ekonomi kapitalis sehingga abad ke-19 telah bermula sejak zaman awal moden iaitu menjelang abad ke-12 M. Pada masa ini, Venice, Genoa, Florence dan Milan mengalami kadar perdagangan tinggi dengan Timur, Timur Tengah dan Eropah Utara. Pada awal abad ke-14 M, Genoa dan Venice mencapai kejayaan dalam pembinaan kapal laut yang boleh berlayar sepanjang tahun. Ini membolehkan mereka mengangkut lebih banyak barangan dan menyeberangi Laut Atlantik. Di Florence, Itali, pedagangnya dan pengusaha bank yang menjadi pemilik bank-bank gereja mendominasi pembankan Eropah. Keuntungan yang diperoleh melalui pinjaman, pelaburan, dan pertukaran wang yang dibawa msuk ke Florence dan disalurkan kepada industri bandar. Zaman ini memperlihatkan pertumbuhan kekayaan dan asimilasi pelbagai budaya tradisi dan nilai yang dibawa masuk oleh pedagang asing dari semua bahagian dunia barat. Keadaan ini menyebabkan perbezaan kelas menjadi nyata di Itali.

Dengan penubuhan negara bangsa pada abad ke-16 dan abad ke-17 M, raja menggalakkan perkembangan kapitalisme dan mengamalkan dasar ekonomi merkantilisme. Sistem kapitalis menggalakkan pengumpulan modal, kebebasan ekonomi, hak milik persendirian, kebebasan pasaran dan perniagaan untuk keuntungan. Kekayaan diperoleh dengan menguasai koloni dan mengadakan imbangan perdagangan yang memihak kepada negara induk. Kekuasaan pula dimiliki dengan membesarkan angkatan tentera, memajukan industri perkapalan dan menafikan hak berdagang di koloni oleh kuasa-kuasa asing. Bagi mewujudkan sektor pertanian dan perindustrian yang produktif dan menjamin pasaran luar negeri yang luas dan tetap, kerajaan negara bangsa telah melindungi sektor perindustrian dalam negeri dan perdagangan luar dengan mengenakan duti import yang tinggi.

Selain itu, gerakan renaisans yang disusuli dengan gerakan reformasi pada abad ke-16 dan abad ke- 17 M, memperhebatkan lagi pertumbuhan ekonomi Eropah dengan mengembangkan kapitalisme di negara-negara berkenaan. Ahli sosiologi Jerman, Max Weber berpendapat bahawa kapitalisme tumbuh pesat di negara-negara protestan dimana terdapat aliran agama Calvinisme. Mengikut fahaman Calvinisme, individu yang bekerja untuk mendapatkan lebih banyak wang dan seterusnya melabur untuk menghasilkan keuntungandapat mengelakkan diri daripada perkara yang tidak bermoral. Oleh yang demikian, zaman pentadbiran negara Calvinis telah melahirkan suatu masyarakat yang bekerja keras dan tidak membuang masa.

TAMADUN DUNIA 3

CONTOH SOALAN:

TEMA 5: Sejauh manakah matlamat pendidikan dalam tamadun awal dipengaruhi dalam faktor agama.

Pendidikan adalah suatu proses yang membentuk abiliti dan sikap manusia. Ia juga adalah suatu proses sosial dimana berlaku pertumbuhan individu yang dijalankan melalui institusi seperti sekolah atau kolej. Pendidikan juga adalah kegiatan terancang dan sisitematik terhadap perkembangan jasmani dan rohani untuk menjalani kehidupan yang sempurna. Seperti dalam sebuah teks yang dikenali sebagai In Praise of Learned Scribes menekankan bahawa pendidikan adalah suatu alat untuk menjadi masyhur dan dikenali oleh seluruh dunia bagi selama-lamanya. Matlamat pendidikan banyak dipengaruhi oleh faktor agama seperti contoh dalam tamadun Mesopotamia, Mesir, India dan Arab.

Matlamat pendidikan dalam tamadun awal Mesopotamia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor agama. Ini dapat dilihat pada matlamat pendidikannya yang ingin mencapai kemahiran tertinggi dalam tulisan cuneiform. Pelajar-pelajar yang mencapai tahap kemahiran tertinggi ini akan menduduki peperiksaan dan yang lulus akan dilantik menjadi jurutulis. Jurutulis ini mempunyai kedudukan yang berbeza iaitu yang paling tinggi akan menghasilkan karya-karya sastera dan keagamaan. Ini juga lebih dilihat pada tempat jurutulis berkhidmat iaitu di rumah-rumah berhala. Seperti contoh, sekolah di Sumeria iaitu Scribal School yang merupakan tempat bagi penulisan kreatif dan para pelajar lepasan sekolah ini akan terus bekerja di kuil dan istana. Oleh itu, faktor keagamaan dalam pendidikan pada zaman tamadun awal Mesopotamia sedikit sebanyak memainkan peranannya dalam perkembangan agama dan juga pendidikan.

Dalam tamadun awal di Mesir pula, pendidikan bertujuan melahirkan individu yang boleh menguasai kemahiran membaca dan menulis untuk mendapat pekerjaan dalam bidang professional. Matlamat pendidikan di Mesir ini telah dipengaruhi oleh faktor agama dan ini boleh ditunjukkan pada sisitem pendidikannya yang terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat rendah dan pendidikan tinggi. Pendidikan rendah bermula pada umur enam tahun dan pengajaran meliputi pembacaan, penulisan, dan pengiraan. Latihan-latihan yang diberikan termasuklah menyalin rangkap-rangkap syair, ayat-ayat dari kitab suci dan lain-lain. Pendidikan tinggi pula dijalankan khas untuk golongan bangsawan. Pusat-pusat pendidikan terdiri daripada rumah berhala yang terdapat di pekan-pekan besar seperti Ptah di Memphis, Re di Heliopolis dan Amon di Thebes. Dalam hal ini, jelaslah bahawa faktor keagamaan memang memainkan peranan dalam pendidikan.

Seterusnya, dasar pendidikan di India adalah bermatlamat berunsurkan keagamaan seperti memberi pendidikan tentang hukum agama, mendidik rakyat mempraktikkan nilai-nilai agama dalam kehidupan seharian, alat untuk mencapai kesempurnaan dalam ilmu keagamaan dan melahirkan insan yang alim dan sahih. Pelajar –pelajar dari kasta atasan seperti Brahma, Kasthriya dan Vaisya dikehendaki mempelajari kitab-kitab suci Veda. Pendidikan yang dipelajari adalah berbeza mengikut kasta seperti Brahma mempelajari tentang keagamaan, Khastriya tentang ketenteraan, Vaisya mengenai ekonomi dan Sudra dijadikan orang suruhan. Sebelum kolej-kolej ditubuhkan, rumah guru dan istana memainkan peranan sebagai pusat pengajian agama. Dalam konteks ini, jelaslah bahawa agama memainkan peranan yang sangat penting dalam tamadun awal India yang selaras dengan matlamat pendidikannya.

Selain itu, matlamat pendidikan dalam tamadun awal di Arab adalah selaras dengan unsur keagamaan. Sistem pendidikan Arab berteraskan pendidikan Islam yang menekankan kepentingan mempelajari ilmu berkaitan dengan dunia dan akhirat. Agama Islam mewajibkan setiap umat Islam mencari ilmu dalam semua bidang dan orang yang berilmu memperolehi kedudukan yang tinggi disisi Allah S.W.T. menurut Hasan Langgulung, pendidikan Islam adalah bertujuan melahirkan insan yang sempurna dari segi rohahiah, psikologikal, intelektual, jasmaniah dan membuat persiapan bagi kehidupan di dunia dan akhirat. Tujuan pendidikan Islam adalah pembentukan akhlak yang mulia, persiapan untuk kehidupan di dunia dan akhirat, persiapan untuk mencari sumber pendapatan, melahirkan semangat ingin tahu di kalangan pelajar dan melengkapkan pengetahuan pelajar dalam bidang-bidang professional, teknikal dan pertukangan supaya menguasai kemahiran dalam pekerjaan dan memelihara aspek-aspek kerohanian dan keagamaan. Jelaslah bahawa faktor agama dalam tamadun Islam memainkan peranan penting dalam kemajuan pendidikan dalam tamadun awal.

Kesimpulannya, dasar pendidikan mempengaruhi bentuk masyarakat yang bakal dilahirkan oleh sesebuah tamadun. Matlamat pendidikan juga banyak dipengaruhi oleh faktor agama seperti contoh dalam tamadun Mesopotamia, Mesir, India dan Arab. Faktor agama juga jelas memainkan peranannya sehingga kini. Dasar pendidikan masa kini juga banyak mempraktikkan unsur-unsur agama agar dasar pendidikan dapat diperkukuhkan dan dimantapkan lagi.