Thursday, May 20, 2010

TAMADUN DUNIA 3

CONTOH SOALAN:

TEMA 5: Sejauh manakah matlamat pendidikan dalam tamadun awal dipengaruhi dalam faktor agama.

Pendidikan adalah suatu proses yang membentuk abiliti dan sikap manusia. Ia juga adalah suatu proses sosial dimana berlaku pertumbuhan individu yang dijalankan melalui institusi seperti sekolah atau kolej. Pendidikan juga adalah kegiatan terancang dan sisitematik terhadap perkembangan jasmani dan rohani untuk menjalani kehidupan yang sempurna. Seperti dalam sebuah teks yang dikenali sebagai In Praise of Learned Scribes menekankan bahawa pendidikan adalah suatu alat untuk menjadi masyhur dan dikenali oleh seluruh dunia bagi selama-lamanya. Matlamat pendidikan banyak dipengaruhi oleh faktor agama seperti contoh dalam tamadun Mesopotamia, Mesir, India dan Arab.

Matlamat pendidikan dalam tamadun awal Mesopotamia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor agama. Ini dapat dilihat pada matlamat pendidikannya yang ingin mencapai kemahiran tertinggi dalam tulisan cuneiform. Pelajar-pelajar yang mencapai tahap kemahiran tertinggi ini akan menduduki peperiksaan dan yang lulus akan dilantik menjadi jurutulis. Jurutulis ini mempunyai kedudukan yang berbeza iaitu yang paling tinggi akan menghasilkan karya-karya sastera dan keagamaan. Ini juga lebih dilihat pada tempat jurutulis berkhidmat iaitu di rumah-rumah berhala. Seperti contoh, sekolah di Sumeria iaitu Scribal School yang merupakan tempat bagi penulisan kreatif dan para pelajar lepasan sekolah ini akan terus bekerja di kuil dan istana. Oleh itu, faktor keagamaan dalam pendidikan pada zaman tamadun awal Mesopotamia sedikit sebanyak memainkan peranannya dalam perkembangan agama dan juga pendidikan.

Dalam tamadun awal di Mesir pula, pendidikan bertujuan melahirkan individu yang boleh menguasai kemahiran membaca dan menulis untuk mendapat pekerjaan dalam bidang professional. Matlamat pendidikan di Mesir ini telah dipengaruhi oleh faktor agama dan ini boleh ditunjukkan pada sisitem pendidikannya yang terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat rendah dan pendidikan tinggi. Pendidikan rendah bermula pada umur enam tahun dan pengajaran meliputi pembacaan, penulisan, dan pengiraan. Latihan-latihan yang diberikan termasuklah menyalin rangkap-rangkap syair, ayat-ayat dari kitab suci dan lain-lain. Pendidikan tinggi pula dijalankan khas untuk golongan bangsawan. Pusat-pusat pendidikan terdiri daripada rumah berhala yang terdapat di pekan-pekan besar seperti Ptah di Memphis, Re di Heliopolis dan Amon di Thebes. Dalam hal ini, jelaslah bahawa faktor keagamaan memang memainkan peranan dalam pendidikan.

Seterusnya, dasar pendidikan di India adalah bermatlamat berunsurkan keagamaan seperti memberi pendidikan tentang hukum agama, mendidik rakyat mempraktikkan nilai-nilai agama dalam kehidupan seharian, alat untuk mencapai kesempurnaan dalam ilmu keagamaan dan melahirkan insan yang alim dan sahih. Pelajar –pelajar dari kasta atasan seperti Brahma, Kasthriya dan Vaisya dikehendaki mempelajari kitab-kitab suci Veda. Pendidikan yang dipelajari adalah berbeza mengikut kasta seperti Brahma mempelajari tentang keagamaan, Khastriya tentang ketenteraan, Vaisya mengenai ekonomi dan Sudra dijadikan orang suruhan. Sebelum kolej-kolej ditubuhkan, rumah guru dan istana memainkan peranan sebagai pusat pengajian agama. Dalam konteks ini, jelaslah bahawa agama memainkan peranan yang sangat penting dalam tamadun awal India yang selaras dengan matlamat pendidikannya.

Selain itu, matlamat pendidikan dalam tamadun awal di Arab adalah selaras dengan unsur keagamaan. Sistem pendidikan Arab berteraskan pendidikan Islam yang menekankan kepentingan mempelajari ilmu berkaitan dengan dunia dan akhirat. Agama Islam mewajibkan setiap umat Islam mencari ilmu dalam semua bidang dan orang yang berilmu memperolehi kedudukan yang tinggi disisi Allah S.W.T. menurut Hasan Langgulung, pendidikan Islam adalah bertujuan melahirkan insan yang sempurna dari segi rohahiah, psikologikal, intelektual, jasmaniah dan membuat persiapan bagi kehidupan di dunia dan akhirat. Tujuan pendidikan Islam adalah pembentukan akhlak yang mulia, persiapan untuk kehidupan di dunia dan akhirat, persiapan untuk mencari sumber pendapatan, melahirkan semangat ingin tahu di kalangan pelajar dan melengkapkan pengetahuan pelajar dalam bidang-bidang professional, teknikal dan pertukangan supaya menguasai kemahiran dalam pekerjaan dan memelihara aspek-aspek kerohanian dan keagamaan. Jelaslah bahawa faktor agama dalam tamadun Islam memainkan peranan penting dalam kemajuan pendidikan dalam tamadun awal.

Kesimpulannya, dasar pendidikan mempengaruhi bentuk masyarakat yang bakal dilahirkan oleh sesebuah tamadun. Matlamat pendidikan juga banyak dipengaruhi oleh faktor agama seperti contoh dalam tamadun Mesopotamia, Mesir, India dan Arab. Faktor agama juga jelas memainkan peranannya sehingga kini. Dasar pendidikan masa kini juga banyak mempraktikkan unsur-unsur agama agar dasar pendidikan dapat diperkukuhkan dan dimantapkan lagi.

1 comment:

  1. kebanyakan faktor lebih berpunca kedatangan islam kan?so,cam mana plak dgn pengaruh barat terhadap islam? dari segi pendidikan, budaya, sains dan teknologi and so on..huhuhu

    ReplyDelete