Thursday, May 20, 2010

TAMADUN DUNIA 4

CONTOH SOALAN:

TEMA 4: Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan kemunculan sistem ekonomi kapitalis sehingga abad ke-19.

Istilah ekonomi berasal daripada istilah Greek, Oikos dan Oikonomia yang bermaksud self-provisioning extended household. Pada asalnya, istilah ekonomi merujuk kepada pegurusan rumah tangga kerana keluarga adalah unit ekonomi yang paling asas dalam kegiatan bercucuk tanam dan pengeluaran. Selain itu, ekonomi juga muncul daripada asas dari sistem ekonomi sara diri. Ekonomi dapat dirumuskan sebagsi ilmu yang mengkaji tentang pengeluaran, pengagihan, pertukarn dan penggunaan barangan yang bersifat kekurangan dan beraneka jenis. Ekonomi kapitalis merujuk kepada galakan kepada kebebasan pasaran dan perniagaan kepada keuntungan.

Faktor-faktor yang menyebabkan kemunculan sistem ekonomi kapitalis sehingga abad ke-19 telah bermula sejak zaman awal moden iaitu menjelang abad ke-12 M. Pada masa ini, Venice, Genoa, Florence dan Milan mengalami kadar perdagangan tinggi dengan Timur, Timur Tengah dan Eropah Utara. Pada awal abad ke-14 M, Genoa dan Venice mencapai kejayaan dalam pembinaan kapal laut yang boleh berlayar sepanjang tahun. Ini membolehkan mereka mengangkut lebih banyak barangan dan menyeberangi Laut Atlantik. Di Florence, Itali, pedagangnya dan pengusaha bank yang menjadi pemilik bank-bank gereja mendominasi pembankan Eropah. Keuntungan yang diperoleh melalui pinjaman, pelaburan, dan pertukaran wang yang dibawa msuk ke Florence dan disalurkan kepada industri bandar. Zaman ini memperlihatkan pertumbuhan kekayaan dan asimilasi pelbagai budaya tradisi dan nilai yang dibawa masuk oleh pedagang asing dari semua bahagian dunia barat. Keadaan ini menyebabkan perbezaan kelas menjadi nyata di Itali.

Dengan penubuhan negara bangsa pada abad ke-16 dan abad ke-17 M, raja menggalakkan perkembangan kapitalisme dan mengamalkan dasar ekonomi merkantilisme. Sistem kapitalis menggalakkan pengumpulan modal, kebebasan ekonomi, hak milik persendirian, kebebasan pasaran dan perniagaan untuk keuntungan. Kekayaan diperoleh dengan menguasai koloni dan mengadakan imbangan perdagangan yang memihak kepada negara induk. Kekuasaan pula dimiliki dengan membesarkan angkatan tentera, memajukan industri perkapalan dan menafikan hak berdagang di koloni oleh kuasa-kuasa asing. Bagi mewujudkan sektor pertanian dan perindustrian yang produktif dan menjamin pasaran luar negeri yang luas dan tetap, kerajaan negara bangsa telah melindungi sektor perindustrian dalam negeri dan perdagangan luar dengan mengenakan duti import yang tinggi.

Selain itu, gerakan renaisans yang disusuli dengan gerakan reformasi pada abad ke-16 dan abad ke- 17 M, memperhebatkan lagi pertumbuhan ekonomi Eropah dengan mengembangkan kapitalisme di negara-negara berkenaan. Ahli sosiologi Jerman, Max Weber berpendapat bahawa kapitalisme tumbuh pesat di negara-negara protestan dimana terdapat aliran agama Calvinisme. Mengikut fahaman Calvinisme, individu yang bekerja untuk mendapatkan lebih banyak wang dan seterusnya melabur untuk menghasilkan keuntungandapat mengelakkan diri daripada perkara yang tidak bermoral. Oleh yang demikian, zaman pentadbiran negara Calvinis telah melahirkan suatu masyarakat yang bekerja keras dan tidak membuang masa.

TAMADUN DUNIA 3

CONTOH SOALAN:

TEMA 5: Sejauh manakah matlamat pendidikan dalam tamadun awal dipengaruhi dalam faktor agama.

Pendidikan adalah suatu proses yang membentuk abiliti dan sikap manusia. Ia juga adalah suatu proses sosial dimana berlaku pertumbuhan individu yang dijalankan melalui institusi seperti sekolah atau kolej. Pendidikan juga adalah kegiatan terancang dan sisitematik terhadap perkembangan jasmani dan rohani untuk menjalani kehidupan yang sempurna. Seperti dalam sebuah teks yang dikenali sebagai In Praise of Learned Scribes menekankan bahawa pendidikan adalah suatu alat untuk menjadi masyhur dan dikenali oleh seluruh dunia bagi selama-lamanya. Matlamat pendidikan banyak dipengaruhi oleh faktor agama seperti contoh dalam tamadun Mesopotamia, Mesir, India dan Arab.

Matlamat pendidikan dalam tamadun awal Mesopotamia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor agama. Ini dapat dilihat pada matlamat pendidikannya yang ingin mencapai kemahiran tertinggi dalam tulisan cuneiform. Pelajar-pelajar yang mencapai tahap kemahiran tertinggi ini akan menduduki peperiksaan dan yang lulus akan dilantik menjadi jurutulis. Jurutulis ini mempunyai kedudukan yang berbeza iaitu yang paling tinggi akan menghasilkan karya-karya sastera dan keagamaan. Ini juga lebih dilihat pada tempat jurutulis berkhidmat iaitu di rumah-rumah berhala. Seperti contoh, sekolah di Sumeria iaitu Scribal School yang merupakan tempat bagi penulisan kreatif dan para pelajar lepasan sekolah ini akan terus bekerja di kuil dan istana. Oleh itu, faktor keagamaan dalam pendidikan pada zaman tamadun awal Mesopotamia sedikit sebanyak memainkan peranannya dalam perkembangan agama dan juga pendidikan.

Dalam tamadun awal di Mesir pula, pendidikan bertujuan melahirkan individu yang boleh menguasai kemahiran membaca dan menulis untuk mendapat pekerjaan dalam bidang professional. Matlamat pendidikan di Mesir ini telah dipengaruhi oleh faktor agama dan ini boleh ditunjukkan pada sisitem pendidikannya yang terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat rendah dan pendidikan tinggi. Pendidikan rendah bermula pada umur enam tahun dan pengajaran meliputi pembacaan, penulisan, dan pengiraan. Latihan-latihan yang diberikan termasuklah menyalin rangkap-rangkap syair, ayat-ayat dari kitab suci dan lain-lain. Pendidikan tinggi pula dijalankan khas untuk golongan bangsawan. Pusat-pusat pendidikan terdiri daripada rumah berhala yang terdapat di pekan-pekan besar seperti Ptah di Memphis, Re di Heliopolis dan Amon di Thebes. Dalam hal ini, jelaslah bahawa faktor keagamaan memang memainkan peranan dalam pendidikan.

Seterusnya, dasar pendidikan di India adalah bermatlamat berunsurkan keagamaan seperti memberi pendidikan tentang hukum agama, mendidik rakyat mempraktikkan nilai-nilai agama dalam kehidupan seharian, alat untuk mencapai kesempurnaan dalam ilmu keagamaan dan melahirkan insan yang alim dan sahih. Pelajar –pelajar dari kasta atasan seperti Brahma, Kasthriya dan Vaisya dikehendaki mempelajari kitab-kitab suci Veda. Pendidikan yang dipelajari adalah berbeza mengikut kasta seperti Brahma mempelajari tentang keagamaan, Khastriya tentang ketenteraan, Vaisya mengenai ekonomi dan Sudra dijadikan orang suruhan. Sebelum kolej-kolej ditubuhkan, rumah guru dan istana memainkan peranan sebagai pusat pengajian agama. Dalam konteks ini, jelaslah bahawa agama memainkan peranan yang sangat penting dalam tamadun awal India yang selaras dengan matlamat pendidikannya.

Selain itu, matlamat pendidikan dalam tamadun awal di Arab adalah selaras dengan unsur keagamaan. Sistem pendidikan Arab berteraskan pendidikan Islam yang menekankan kepentingan mempelajari ilmu berkaitan dengan dunia dan akhirat. Agama Islam mewajibkan setiap umat Islam mencari ilmu dalam semua bidang dan orang yang berilmu memperolehi kedudukan yang tinggi disisi Allah S.W.T. menurut Hasan Langgulung, pendidikan Islam adalah bertujuan melahirkan insan yang sempurna dari segi rohahiah, psikologikal, intelektual, jasmaniah dan membuat persiapan bagi kehidupan di dunia dan akhirat. Tujuan pendidikan Islam adalah pembentukan akhlak yang mulia, persiapan untuk kehidupan di dunia dan akhirat, persiapan untuk mencari sumber pendapatan, melahirkan semangat ingin tahu di kalangan pelajar dan melengkapkan pengetahuan pelajar dalam bidang-bidang professional, teknikal dan pertukangan supaya menguasai kemahiran dalam pekerjaan dan memelihara aspek-aspek kerohanian dan keagamaan. Jelaslah bahawa faktor agama dalam tamadun Islam memainkan peranan penting dalam kemajuan pendidikan dalam tamadun awal.

Kesimpulannya, dasar pendidikan mempengaruhi bentuk masyarakat yang bakal dilahirkan oleh sesebuah tamadun. Matlamat pendidikan juga banyak dipengaruhi oleh faktor agama seperti contoh dalam tamadun Mesopotamia, Mesir, India dan Arab. Faktor agama juga jelas memainkan peranannya sehingga kini. Dasar pendidikan masa kini juga banyak mempraktikkan unsur-unsur agama agar dasar pendidikan dapat diperkukuhkan dan dimantapkan lagi.

TAMADUN DUNIA 2

CONTOH SOALAN:

TEMA 3: bincangkan idea pemikiran ketenteraan tokoh-tokoh dari india dan china yang banyak memberi sumbangan kepada ketahanan dan pertahanan Negara.

Pemikir ketenteraan ialah mereka yang memberikan sumbangan penting dalam perkembangan pertahanan dan ketahanan sesuatu tamadun. Antara tokoh-tokoh pemikir ketenteraan yang terulung ialah Kautilya di India, SunTzu di China dan Niccolo Machiavelli di Itali. Mereka menghasilkan karya-karya yang mengandungi maklumat tentang taktik dan strategi peperangan. Tambahan pula mereka juga membicarakan tentang pentadbiran kerajaan, motivai dan latihan tentera, kawalan tentera, organisasi tentera, kaedah tentera, taktik menewaskan musuh dan falsafah peperangan, ideayang dikemukakan oleh mereka membantu para pemerintah mengukuhkan kedudukan dan kekusaan mereka. Malah idea-idea mereka masih berpengaruh dalam bidang ketenteraan hingga kini.

Kautilya merupakan pemikir ketenteraan India, dan pernah berkhidmat sebagai menteri kepada pengasas empayar Maurya, iaitu Chandaragupta Maurya. Beliau juga menghasilkan karya seperti Arthasastra atau Science of Gain(of Power). Kautilya mengemukakan enam perkara yang menghubungkan kerajaan pusat dan negeri. Perkara-perkara tersebut adalah keamanan bermaksud tindakan ketenteraan tidak dilakukan, bersedia untuk berperang, menunggu musuh melancarakan serangan pertama, menyerang musuh terlebih dahulu, mengadakan persekutuan dengan musuh untuk menyerang musuh dan mengamalkan dasar duaan.

Selain itu, Kautilya juga menyarankan empat cara memenangi peperangan iaitu dengan cara memujuk musuh melalui perbincangan, member rasuah supaya musuh dapat berundur dari peperangan, memecah belahkan tentera musuh dengan menimbulkan persengketaan sesama mereka, dan melancarkan perang jika tiga cara yang sebelumnya menemui kegagalan.

Menurut pemikiran Kautilya, seseorang pemerintah harus mengkaji kekuatan tenteranya begitu juga tentera musuh sebelum melancarkan peperangan. Ini kerana pengetahuan tentang kekuatan dan kelemahan tentera musuh dapat membantu seorang panglima tentera memantapkan pasukan tentera supaya setanding atau lebih kuat daripada tentera musuh.

Seterusnya, Kautilya juga menekankan kepentingan komplot atau konspirasi dalam menghadapi musuh di medan peperangan. Menurut pandangan beliau kebolehab mengatur konspirasi adalah lebih baik daripada kegagahan. Komplot atau konspirasi dapat membantu memecahbelahkan musuh tanpa melibatkan diri dalam peperangan dan mengorbankan banyak nyawa.

Tambahan pula, Kautilya juga menyarankan taktik-taktik kotor harus digunakan apabila peperangan menemui jalan buntu atau sudah menemui kekalahan. Pemerintah boleh menggunakan kaedah subversif seperti menghantar pengintip, memberi rasuah kepada panglima-panglima atau tentera musuh , dan menghantar para pelacur untuk menjatuhkan pihak musuh.

Kautilya menyarankan supaya serangan dilancarkan pada waktu yang sesuai bagi mencapai kejayaan dengan mudah. Serangan juga harus dilakukan apabila musuh berada dalam keadaan yang lemah, menghadapi masalah bekalan makanan atau berlaku perpecahan sesama sendiri. Kautilya juga mengemukan pelbagai pendekatan yang harus digunakan oleh pemerintah dalam medan peperangan. Pendekatan tersebut adalah seperti Dana iaitu member rasuah, Saman iaitu menjalinkan perdamaian dengan negara yang lemah kerana berperang dengan negara yang lemah merugikan masa, Bheda iaitu melaga-lagakan musuh dan Danda iaitu menggunakan kekerasan kepada musuh.

Di China pula, terdapat pemikir-pemikir ketenteraan yang dilahirkan yang membicarakan tentang taktik dan strategi peperangan. Perkara-perkara yang dibicarakan oleh pemikir ketenteraan di China termasuklah pentadbiran kerajaan, organisasi tentera, latihan tentera, taktik dan strategi peperangan, kaedah memotivasikan tentera, kawalan tentera dan pentadbiran tentera. Pemikir ketenteraan China yang terkenal adalah Sun Tzu yang merupakan pemikir terulung pada zaman klasik. Beliau pernah berkhidmat sebagai panglima tentera bagi kerajaan Wu. Beliau juga menghasilkan buku berjudul seni peperangan yang dianggap tertua dan terbaik. Dalam buku ini Sun Tzu mengemukakan 13 taktik dan strategi yang harus diketahui oleh seorang panglima perang.

Antara taktik dan strategi yang terkandung dalam buku yang dihasilkan oleh Sun Tzu ialah merancang peperangan. Pemerintah harus menjalankan kajianyang teliti sebelum melancarkan peperangan kerana peperangan melibatkan nyawa rakyat dan masa depan negara. Lima perkara harus dipertimbangkan dalam sesuatu peperangan iaitu alasan moral, bentuk muka bumi, keadaan iklim, kepimpinan panglima tentera, dan pengendalian peperangan. Menurut Sun Tzu, alasan morall atau Dao amat penting bagi menentukan kejayaan dalam peperangan. Alasan moral menentukan sokongan rakyat terhadap tindakan pemimpin.

Seterusnya ialah melancarkan peperangan, menurut Sun Tzu, seorang panglima tentera harus memastikan kemenangan dapat dicapai dalam masa yang singkat. Peperangan yang berpanjangan tidak membawa apa-apa manfaat dan faedah kepada negara. Peperangan yang berpanjangan juga boleh melemahkan semangat askar serta boleh menyebabkan perbelanjaan yang tinggi seperti melibatkan kos perubatan tentera dan bekalan makanan tentera.

Tambahan pula, taktik dan stategi lain adalah daripada segi strategi peperangan. Seorang panglima perang harus mengatur strategiuntuk melawan musuh tanpa menggunakan kekerasan. Panglima perang yang cekap harus mempunyai pengetahuan tentang kelebihan dan kelemahan diri sendiri serta musuh. Seorang panglima tentera akan menemui kekalahan jika melakukan tiga kesilapan iaitu jahil akan ilmu peperangan, jahil dalam urusan pentadbiran ketenteraan, dan mengarahkan tentera mara kehadapan atau berundur apabila tidak sepatutnya berbuat tindakan sedemikian. Sun Tzu menyarankan agar serangan dilancarkan jika pasukannya lebih kuat atau sama kuat dengan pasukan musuh. Peperangan juga harus dielakkan jika pasukan musuh lebih kuat.

Seterusnya ialah penempatan tentera. Menurut Sun Tzu, pemilihan lokasi yang baik untuk menempatkan tentera menentukan kejayaan sesuatu pasukan dalam peperangan. Lokasi penempatan tentera harus dirahsiakan supaya musuh tidak mengesan pergerakan dan persediaan pasukan tentera. Selain itu, strategi dari segi situasi dimana kejayaan dalam medan peperangan tidak bergantung kepada bilangan anggota tentera. Kemenangan anggota tentera bergantung kepada cara seseorang jeneral menyusun anggota tenteranya.

Taktik dan strategi lain ialah kelebihan dan kekurangan dimana seorang panglima tentera harus menggunakan kelebihan yang ada pada pasukan tenterannya dengan berkesan. Pasukan tentera yang sampai lebih awal di medan peperangan lebih bersedia berbanding dengan pasukan yang lewat sampai. Seorang panglima perang harus menyerang musuh yang lemah dan mengelak diri daripada menyerang musuh yang kuat.

Selain itu, taktik menggunakan muslihat peperangan yang menurut Sun Tzu tipu muslihat merupakan satu taktik yang boleh digunakan untuk menghadapi musuh yang kuat. Penggunaan pelbagai taktik juga boleh digunakan kerana menurut Sun Tzu, seorang panglima perang harus juga mempunyai pengetahuan tentang pelbagai taktik yang digunakan untuk menewaskan musuh. Tambahan pula, mobilisasi tentera iaitu salah satu daripada taktik dan strategi dimana Sun Tzu menyarankan agar khemah tentera didirikan ditempat yang tinggi. Beliau juga melarang melakukan serangan dengan mendaki gunung.

Seterusnya, bentuk muka bumi yang menurut kata Sun Tzu, seorang panglima tentera harus mempunyai pengetahuan tentang pelbagai jenis bentuk muka bumi. Seperti contoh, antara bentuk muka bumi yang harus diketahui adalh tempat yang sempit, tempat yang tinggi tempat yang mudah dilalui, dan tempat yang sukar dilalui. Taktik yang lain adalah Sembilan keadaan dimana Sun Tzu menyenaraikan Sembilan keadaan yang dihadapi dalam medan peperangan. Sembilan keadaan yang dinyatakan okeh Sun Tzu ialah daerah kritis, daerah sempadan, daerah terbuka, daerah terkepung, daerah maut, daerah serius, daerah bertempiaran, daerah dasyhat, dan daerah lalu lintas. Beliau juga menyatakan tindakan berbeza harus diambil bagi setiap situasi atau keadaan.

Tambahan pula, taktik serangan menggunakan api juga termasuk dalam 13 taktik dan strategi. Sun Tzu melarang penggunaan api dalam peperangan kecuali dalam keadaan terdesak. Terdapat beberapa cara serangan ini dilakukan, iaitu membakar peralatan musuh, membakar gudang menyimpan senjata, membakar saluran makanan dan membakar askar musuh. Bantuan orang awam dan keadaan cuaca amat penting dalam penggunaan api.

Selain itu ialah taktik dan strategi pengintipan. Pengintipan dilakukan oleh pemimpin tentera untuk mengumpul maklumat tentang musuh. Maklumat yang diperolehi daripada penigintipan membantu pemerintah mengatur strategi untuk mencapai kejayaan dalam medan peperangan. Terdapat lima jenis pengintip, iaitu pengintip tempatan, pengintip dalaman, pengintip dua pihak, pengintip maut dan pengintip utusan.

Kesimpulannya, Kautilya, Sun Tzu dan Nicollo Machiavelli merupakan pemikir ketenteraan yang banyak memberi sumbangan kepada pertahanan negara mereka masing-masing. Idea mereka bukan hanya digunakan dalam bidang ketenteraan tetapi juga turut digunakan dalam bidang perniagaan. Idea yang disarankan oleh tokoh-tokoh ini telah berjaya mengukuhkan kuasa dan lahirkan sebuah kerajaan yang mantap.

TAMADUN DUNIA

CONTOH SOALAN:

TEMA 1: revolusi pertanian membawa perubahan kepada masyarakat neolitik.bincangkn kepentingan zaman neolitik kepada peradaban manusia.

Zaman prasejarah akhir merujuk kepada zaman neolitik yang bermula pada 7000 S.M hingga 3500 S.M. Zaman prasejarah akhir bermula selepas berlaku revolusi pertanian sekitar tahun 7000 S.M. Kebudayaan neolitik diasaskan oleh sekumpulan masyarakat dari Asia Barat yang terlibat dalam aktiviti pertanian, penternakan binatang dan menetap di kampung. Perkembangan pertanian telah mengubah corak hidup manusia daripada kehidupan bersifat nomad kepada kehidupan tetap, stabil dan selamat. Zaman neolitik membawa impak yang penting kepada peradaban manusia kerana pada zaman inilah bermulanya ciri-ciri kehidupan yang lebih teratur dan cekap.

Ciri-ciri peradaban manusia dapat ditinjau daripada pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, politik dan agama. Ciri-ciri yang paling penting dalam zaman neolitik ini boleh dilihat dari aspek perkembangan pertanian dan penternakan. Aktiviti pertanian bermula di Asia Barat sekitar 7000 S.M di Tepe Yahya, Jarmo, Jerico, Hacilar. Antara contoh tanaman yang ditanam di pada zaman ini di Asia Barat ialah seperti gandum, barli dan kacang. Aktiviti pertanian ini dijalankan secara sistematik dan lahirlah masyarakat yang bergantung kepada pertanian sebagai sumber makanan dan keperluan asas bagi mereka. Masyarakat pada zaman ini juga menjalankan aktiviti penternakan binatang seperti kambing, biri-biri, dan khinzir. Perkembangan pertanian dan penternakan menyebabkan berlaku perubahan daripada kehidupan nomad kepada kehidupan berasaskan pertanian.

Seterusnya ialah petempatan yang kekal yang mengakibatkan perkembangan peradaban manusia. Masyarakat neolitik mula tinggal dan menetap di kampung-kampung dan membina rumah kediaman. Perkampungan neolitik didirikan berhampiran sumber air kerana sumber air amat diperlukan dalam aktiviti pertanian dan penternakan. Rumah yang dibina diperbuat daripada kayu, batu dan tanah liat. Petempatan neolitik yang terawal ditemui di Jarmo dan Catal Huyuk. Antara ciri-ciri petempatan yang didirikan pada zaman neolitik ialah rumah dibina daripada tanah liat, kegiatan pertanian dan penternakan dijalankan, terdapat tradisi penggunaan tembikar yang diperbuat daripada tanah liat dan juga rumah ibadat yang didirikan.

Tambahan pula, selepas berlakunya revolusi pertanian berlaku pertambahan penduduk dalam sesuatu kampung atau petempatan menyebabkan kawasan itu berkembang menjadi sebuah bandar. Seperti contoh, bandar Jerico mempunyai seramai 2000 orang penduduk sekitar 7000 S.M. Pada zaman ini bandar dibina tembok pertahanan disekelilingnya bagi menjamin kehidupan dan persekitaran yang lebih selamat dan stabil. Perkembangan dalam aktiviti pertanian menyebabkan bandar-bandar berkembang dari segi saiz, dan bilangan.

Selain itu, peradaban manusia berubah apabila berlakunya peningkatan teknologi. Perkembangan aktiviti pertanian menyebabkan berlaku kemajuan dalam teknologi pertanian. Pada zaman neolitik manusia sudah mula mencari alternatif untuk mencipta peralatan seperti tenggala yang dicipta sekitar 3000 S.M untuk membajak tanah bagi tujuan pertanian. Seterusnya penciptaan roda untuk kereta kuda dan lembu digunakan untuk mengangkut hasil pertanian ataupun kenderaan pada masa itu. Selepas berlakunya revolusi pertanian, menyebabkan terusan dan tali air dibina untuk mengairi kawasan pertanian. Sejurus selepas itu, manusia mula mencipta rakit dan perahu menyebabkan berlakunya migrasi neolitik yang membolehkan manusia meneroka kawasan baru untuk didirikan petempatan baru dan menaikkan taraf hidup dan kedudukan ekonomi. Pada akhir zaman neolitik, manusia mula mempunyai kemahiran mencipta logam.

Kesan revolusi pertanian memnyebabkan kesan kepada peradaban manusia juga. Seperti kepercayaan, masyarakat neolitik percaya kepada kuasa-kuasa luar biasa yang dianggap suci (animisme). Mereka percaya kuasa-kuasa ghaib ini menentukan untung nasib kehidupan mereka dan mereka juga percaya semangat atau tuhan yang megawal alam semesta. Masyarakat ini juga melakukan upacara pemujaan untuk mententeramkan semangat unsur-unsur alam untuk mengelakkan sebarang bencana alam yang memusnahkan hasil pertanian. Peradaban manusia juga boleh dilihat apabila adanya upacara ritual dan amalan korban yang dijalankan bagi meningkatkan kesuburan tanaman dan ternakan. Seperti contoh masyarakat Red Indian menarikan tarian ritual untuk menjamin bekalan makanan mencukupi.

Tambahan pula, institusi politik berlaku akibat peradaban manusia yang semakin berkembang. Kemajuan dalam bidang pertanian menyebabkan sistem pentadbiran yang sistematik perlu untuk mengawasi kerja-kerja pembinaan empangan dan terusan. Ketua-ketua dilantik untuk mengarahkan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan terusan serta ketua juga berperanan menyelesaikan hal berkaitan dengan pertanian dan pertikaian mengenai hak milik tanah. Perkembangan ini menyebabkan muncul sistem pemerintahan dan pentadbiran yang berperanan menyelesaikan hak masyarakat yang semakin kompleks, pengagihan kekayaan sama-rata, mewujudkan kawalan sosial, menjalankan penaklukan dan mempertahankan Negara dari ancaman musuh.

Kesimpulannya, revolusi pertanian yang berlaku pada zaman neolitik telah membawa kepada banyak perubahan pada peradaban manusia. Peradaban manusia dan cara hidup manusia telah banyak memberi kesan kepada manusia kini. Dengan perubahan ini, iaitu dari sektor politik, agama, dan ekonomi, manusia pada zaman neolitik banyak member perubahan dan impak yang besar dalam masyarakat kini. Dari segi teknologi, pembandaran, dan pertanian juga boleh dilihat dengan jelas perubahannya.