Thursday, May 20, 2010

TAMADUN DUNIA

CONTOH SOALAN:

TEMA 1: revolusi pertanian membawa perubahan kepada masyarakat neolitik.bincangkn kepentingan zaman neolitik kepada peradaban manusia.

Zaman prasejarah akhir merujuk kepada zaman neolitik yang bermula pada 7000 S.M hingga 3500 S.M. Zaman prasejarah akhir bermula selepas berlaku revolusi pertanian sekitar tahun 7000 S.M. Kebudayaan neolitik diasaskan oleh sekumpulan masyarakat dari Asia Barat yang terlibat dalam aktiviti pertanian, penternakan binatang dan menetap di kampung. Perkembangan pertanian telah mengubah corak hidup manusia daripada kehidupan bersifat nomad kepada kehidupan tetap, stabil dan selamat. Zaman neolitik membawa impak yang penting kepada peradaban manusia kerana pada zaman inilah bermulanya ciri-ciri kehidupan yang lebih teratur dan cekap.

Ciri-ciri peradaban manusia dapat ditinjau daripada pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, politik dan agama. Ciri-ciri yang paling penting dalam zaman neolitik ini boleh dilihat dari aspek perkembangan pertanian dan penternakan. Aktiviti pertanian bermula di Asia Barat sekitar 7000 S.M di Tepe Yahya, Jarmo, Jerico, Hacilar. Antara contoh tanaman yang ditanam di pada zaman ini di Asia Barat ialah seperti gandum, barli dan kacang. Aktiviti pertanian ini dijalankan secara sistematik dan lahirlah masyarakat yang bergantung kepada pertanian sebagai sumber makanan dan keperluan asas bagi mereka. Masyarakat pada zaman ini juga menjalankan aktiviti penternakan binatang seperti kambing, biri-biri, dan khinzir. Perkembangan pertanian dan penternakan menyebabkan berlaku perubahan daripada kehidupan nomad kepada kehidupan berasaskan pertanian.

Seterusnya ialah petempatan yang kekal yang mengakibatkan perkembangan peradaban manusia. Masyarakat neolitik mula tinggal dan menetap di kampung-kampung dan membina rumah kediaman. Perkampungan neolitik didirikan berhampiran sumber air kerana sumber air amat diperlukan dalam aktiviti pertanian dan penternakan. Rumah yang dibina diperbuat daripada kayu, batu dan tanah liat. Petempatan neolitik yang terawal ditemui di Jarmo dan Catal Huyuk. Antara ciri-ciri petempatan yang didirikan pada zaman neolitik ialah rumah dibina daripada tanah liat, kegiatan pertanian dan penternakan dijalankan, terdapat tradisi penggunaan tembikar yang diperbuat daripada tanah liat dan juga rumah ibadat yang didirikan.

Tambahan pula, selepas berlakunya revolusi pertanian berlaku pertambahan penduduk dalam sesuatu kampung atau petempatan menyebabkan kawasan itu berkembang menjadi sebuah bandar. Seperti contoh, bandar Jerico mempunyai seramai 2000 orang penduduk sekitar 7000 S.M. Pada zaman ini bandar dibina tembok pertahanan disekelilingnya bagi menjamin kehidupan dan persekitaran yang lebih selamat dan stabil. Perkembangan dalam aktiviti pertanian menyebabkan bandar-bandar berkembang dari segi saiz, dan bilangan.

Selain itu, peradaban manusia berubah apabila berlakunya peningkatan teknologi. Perkembangan aktiviti pertanian menyebabkan berlaku kemajuan dalam teknologi pertanian. Pada zaman neolitik manusia sudah mula mencari alternatif untuk mencipta peralatan seperti tenggala yang dicipta sekitar 3000 S.M untuk membajak tanah bagi tujuan pertanian. Seterusnya penciptaan roda untuk kereta kuda dan lembu digunakan untuk mengangkut hasil pertanian ataupun kenderaan pada masa itu. Selepas berlakunya revolusi pertanian, menyebabkan terusan dan tali air dibina untuk mengairi kawasan pertanian. Sejurus selepas itu, manusia mula mencipta rakit dan perahu menyebabkan berlakunya migrasi neolitik yang membolehkan manusia meneroka kawasan baru untuk didirikan petempatan baru dan menaikkan taraf hidup dan kedudukan ekonomi. Pada akhir zaman neolitik, manusia mula mempunyai kemahiran mencipta logam.

Kesan revolusi pertanian memnyebabkan kesan kepada peradaban manusia juga. Seperti kepercayaan, masyarakat neolitik percaya kepada kuasa-kuasa luar biasa yang dianggap suci (animisme). Mereka percaya kuasa-kuasa ghaib ini menentukan untung nasib kehidupan mereka dan mereka juga percaya semangat atau tuhan yang megawal alam semesta. Masyarakat ini juga melakukan upacara pemujaan untuk mententeramkan semangat unsur-unsur alam untuk mengelakkan sebarang bencana alam yang memusnahkan hasil pertanian. Peradaban manusia juga boleh dilihat apabila adanya upacara ritual dan amalan korban yang dijalankan bagi meningkatkan kesuburan tanaman dan ternakan. Seperti contoh masyarakat Red Indian menarikan tarian ritual untuk menjamin bekalan makanan mencukupi.

Tambahan pula, institusi politik berlaku akibat peradaban manusia yang semakin berkembang. Kemajuan dalam bidang pertanian menyebabkan sistem pentadbiran yang sistematik perlu untuk mengawasi kerja-kerja pembinaan empangan dan terusan. Ketua-ketua dilantik untuk mengarahkan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan terusan serta ketua juga berperanan menyelesaikan hal berkaitan dengan pertanian dan pertikaian mengenai hak milik tanah. Perkembangan ini menyebabkan muncul sistem pemerintahan dan pentadbiran yang berperanan menyelesaikan hak masyarakat yang semakin kompleks, pengagihan kekayaan sama-rata, mewujudkan kawalan sosial, menjalankan penaklukan dan mempertahankan Negara dari ancaman musuh.

Kesimpulannya, revolusi pertanian yang berlaku pada zaman neolitik telah membawa kepada banyak perubahan pada peradaban manusia. Peradaban manusia dan cara hidup manusia telah banyak memberi kesan kepada manusia kini. Dengan perubahan ini, iaitu dari sektor politik, agama, dan ekonomi, manusia pada zaman neolitik banyak member perubahan dan impak yang besar dalam masyarakat kini. Dari segi teknologi, pembandaran, dan pertanian juga boleh dilihat dengan jelas perubahannya.

1 comment:

  1. tadaa..hehehe dah siap baca dan dah buat nota loo tamadun dunia kaau..nyek nyek nyek..thankkiu banyak banyak wo..cepaat cepaat update lagi haa,add oil add oil^^

    ReplyDelete