Tuesday, July 13, 2010

TAMADUN DUNIA 6

CONTOH SOALAN:

TEMA 1: Huraikan ciri-ciri pembandaran dalam tamadun Indus.

Bandar memainkan peranan yang penting dalam sesuatu tamadun. Bandar merujuk kepada sesuatu kawasan yang dihuni oleh ramai penduduk dan sebahagian besarnya boleh membaca dan menulis serta terlibat secara langsung dalam aktiviti perdagangan. Pertambahan penduduk dan peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian dalam sesuatu kampung boleh menyebabkan ia berkembang menjadi sebuah bandar. Antara bandar yang penting dalam tamadun awal ialah Mohenjo-Daro dan Harappa dalam tamadun Indus, serta Thebes, Memphis, dan Thinis dalam tamadun Mesir Purba. Bandar memainkan peranan penting sebagai pusat pentadbiran, pusat keagamaan, pusat perkembangan ilmu pengetahuan, dan pusat pertahanan dan pengangkutan. Bandar-bandar seperti Mohenjo-Daro dan Harappa adalah merupakan bandar terancang yang tertua di dunia dan ia dilengkapi dengan sistem perparitan dan saliran, sistem pembentungan, jaringan jalan raya dan rumah kediaman.

Ciri-ciri dalam pembandaran tamadun Indus yang paling diutamakan ialah bandar-bandar dibina secara terancang iaitu mengikut pelan yang sama. Bandar ini terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian kubu dan pusat bandar. Kubu didirikan di bahagian timur dan barat bandar bagi mengelakkan daripada serangan musuh dan mengatasi masalah banjir. Bahagian tengah bandar pula dilengkapi dengan kolam mandi besar, jelapang, kubu dan dewan perhimpunan. Bahagian pusat bandar ini meliputi kawasan seluas 2.5 kilometer persegi. Bangunan dibina dalam blok-blok empat segi di sepanjang jalan dan lorong-lorong di sekitar bandar itu.

Seterusnya, terdapat juga sistem jalan raya di bandar yang menjadi penghubung antara setiap kawasan bandar, rumah dan jalan ke luar bandar itu. Jalan-jalan ini dibina secara lurus dengan berukuran 14 meter lebar. Jalan-jalan dari utara ke selatan disilang oleh jalan-jalan lain pada sudut tepat dan berbentuk blok yang berukuran 365 x 182 meter. Penggunaan batu juga adalah diguna daripada batu bakar yang bermutu tinggi untuk tujuan pembinaan. Batu-batu mempunyai saiz yang standard, iaitu 280 x 140 x 70 milimeter.

Pembandaran tamadun indus juga mempunyai ciri-ciri seperti sistem pembentungan. Terdapat sistem pembekalan air dan pembentungan bagi rumah dan tempat mandi awam. Air dari rumah disalirkan ke dalam longkang besar menerusi longkang-longkang kecil. Longkang-longkang tertutup dibina di sepanjang jalan utama dan dilengkapi lubang pemeriksaan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan jika longkang tersumbat.

Selain itu, terdapat kolam mandi di pusat bandar. Kolam mandi besar ini dinamakan ‘The Great Bath’ memperlihatkan kemajuan tinggi dalam teknologi pembinaan. Tangga didirikan dikedua-dua belah kolam menuju ke dasar kolam. Tangga ini dibina dengan menggunakan batu dan disadurkan dengan bitumen. Keunikkan kolam ini adalah air takungannya boleh dikosongkan dan diisi semula atas tujuan pembersihan dan penambahbaikkan.

Tambahan pula, dalam pembandaran tamadun Indus, terdpat seni bina rumah yang teratur dimana rumah-rumah didirikan dalam satu deretan yang selari menghala dari utara ke selatan dan timur ke barat dalam blok-blok segi empat yang dipisahkan oleh jalan raya. Ciri-ciri rumah yang dibina adalah seperti mengikut pelan yang sama, rumah dibina mempunyai satu tingkat atau dua tingkat, mempunyai bumbung yang rata, saiz rumah juga berbeza, dan terdapat bilik tidur, serambi, bilik mandi dan perigi serta terdapat ruang antara rumah bagi menjamin peredaran udara. Rumah-rumah dibina dengan menggunakan batu bermutu tinggi. Terdapat juga rumah kongsi dan hamba yang dibina dalam satu deretan mengandungi dua bilik dengan keluasan 20 x 12 kaki persegi.

Ciri yang seterusnya ialah terdapat kemudahan-kemudahan awam. Terdapat banyak bangunan awam didirikan atas podium yang dibina daripada tanah liat didalam kubu. Antara bangunan awam yang didirikan dalam bandar ialah dewa perhimpunan, gudang bijirin, kolam mandi besar, pejabat pendeta, bilik mandi awam, dan tandas awam. Bandar-bandar ini dilengkapi dengan tempat mandi dan tandas awam berhampiran jalan-jalan utama.

Konklusinya, masyarakat di Lembah Sungai Indus mempunyai kemahiran yang tinggi dalam perancangan bandar. Bandar Mohenjo-Daro dan Harappa di Lembah Sungai Indus merupakan bandar yang terancang yang dibina berdasarkan pelan yang sama. Pembinaan bandar yang terancang jelas menunjukan tahap tamadun yang tinggi dicapai oleh masyarakat indus.

1 comment:

  1. hehehe mmm ayat terakhir tu meman sampai jelas ma?nyek nyek nyek hampir habis loo..kasih kasih^^

    ReplyDelete