Friday, July 16, 2010

TAMADUN DUNIA 7

CONTOH SOALAN:

TEMA 1: Bandingkan struktur organisasi sosial masyarakat dalam tamadun Mesopotamia dan Mesir Purba.

Organisasi sosial merupakan salah satu ciri yang melambangkan ketamadunan sesuatu masyarakat. Organisasi sosial merujuk kepada pembahagian anggota masyarakat mengikut struktur lapisan sosial yang mempunyai perbezaan dari segi kuasa, kekayaan , gaya hidup dan pekerjaan. Kemajuan dalam bidang pertanian telah menyebabkan lahir struktur organisasi sosial masyarakat kompleks di Mesopotamia dan Mesir Purba. Kewujudan organisasi sosial dapat dikesan dalam tamadun-tamadun awal seperti Mesopotamia dan Mesir Purba. Masyarakat di Mesopotamia dan Mesir Purba terbahagi kepada tiga lapisan, iaitu golongan atasan, golongan menengah dan golongan bawahan. Contoh golongan ialah raja, bangsawan, pendeta, pedagang, rakyat dan hamba.

Merujuk kepada hierarki organisasi sosial, golongan yang paling atas ialah raja atau firaun. Di tamadun Mesoptamia, raja mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam struktur sosial masyarakatnya. Raja mempunyai kuasa mutlak dalam bidang pentadbiran dan keagamaan. Raja juga memainkan peranannya sebagai ketua tentera, ketua pentadbir, dan ketua agama. Dalam bidang pemerintahan dan pentadbiran, raja melantik pembesar, menerima kunjungan diplomat-diplomat asing, dan melantik pengganti sebagai pewaris takhta. Dalam bidang ketenteraan pula, raja menjadi ketua tentera, merangka pelan ketenteraan dan memeriksa pasukan tentera dari masa ke semasa. Dalam bidang keagamaan pula, raja bertindak sebagai wakil tuhan dan ketua pendeta, mengawasi kerja-kerja pembinaan dan membaik pulih rumah berhala dan menjalankan upacar ritual diraja seperti takultu dan bit rimki.

Seterusnya, dalam organisasi sosial tamadun Mesir Purba, kedudukan yang paling atas ialah Firaun. Firaun memainkan peranannya sebagai tuhan yang melindungi rakyatnya. Firaun juga berperanan sebagai ketua pendeta, ketua pentadbir dan ketua hakim negara. Tambahan pula, firaun dianggap sebagai lambang keadilan (maat) yang berperanan memelihara keamanan dalam negara. Menjelang zaman dinasti ketiga dan keempat, firaun dianggap sebagai jelmaan tuhan Horus dan menjelang dinasti kelima, firaun dianggap tuhan matahari. Pada akhir dinasti kelima, firaun dianggap tuhan Horus dan akan menjadi tuhan Osiris selepas kematiannya. Pada zaman kerajaan baru pula, firaun dianggap jelmaan tuhan Menthu atau Baal.

Di bawah raja atau firaun, terdapat golongan bangsawan yang juga terdiri daripada golongan atasan. Di Mesopotamia, golongan bangsawan adalah golongan kedua tertinggi mengikut hierarki selepas raja. Golongan ini dikenali sebagai marbanuti. Tugas utama golongan ini adalah untuk membantu raja dalam sektor pentadbiran. Golongan ini terdiri daripada pegawai kerajaan, seperti panglima tentera, ketua pendeta, dan gabenor provinsi. Pegawai tinggi kerajaan seperti ketua komander, pembawa alat kebesaran diraja, dan penguasa istana bertindak sebagai penasihat raja. Ciri-ciri golongan bangsawan ialah menetap di rumah mewah di pusat bandar, mempunyai ramai pekerja, mendapat kekayaan daripada harta rampasan perang dan cukai daripada rakyat.

Dalam tamadun Mesir Purba, golongan bangsawan ataupun golongan menengah tinggi ini terdiri daripada pegawai tinggi kerajaan di peringkat pusat dan wilayah. Golongan ini menduduki hierarki ketiga selepas kerabat diraja. Antara golongan bangsawan dalam tamadun Mesir Purba ialah pengurus, pegawat penguasa, pendeta, dan pekerja. Dalam golongan ini, pegawai tinggi kerajaan yang paling berpengaruh ialah wazir yang bertanggungjawab memungut cukai, mengawasi kerja-kerja pembinaan, mengendalikan kes-kes wilayah dan menyambut duta asing. Wazir ini dilantik dari golongan bangsawan, kerabat diraja, dan pendeta. Golongan pendeta memainkan peranan dalam hal-hal keagamaan dan pelantikan raja atau firaun.

Seterusnya, selepas golongan bangsawan terdapat golongan profesional. Dalam tamadun Mesopotamia, golongan ini dikenali sebagai Ummane yang memainkan peranan dalam mengukuhkan kedudukan ekonomi negara. Golongan ini terdiri daripada pengusaha bank, pedagang, doktor, jurutulis dan golongan artisan. Golongan ini juga mempunyai persatuan mereka sendiri bagi menjaga kebajikan dan melindungi pekerjaan mereka. Tambahan pula, golongan ini mewarisikan pekerjaan ni kepada anak-anak mereka.

Di Mesir Purba, golongan profesional ataupun golongan menengah bawah ini terdiri daripada tentera, buruh raja (royal servants), tukang-tukang mahir dan petani. Bagi anggota tentera mereka dibenarkan memiliki pembantu rumah, dan mendapat harta rampasan perang, ganjaran, pangkat dan tanah milik raja. Buruh raja akan berkhidmat untuk raja dengan bekerja di lombong kuari, sektor pembinaan dan membuat tembikar. Golongan petani pada zaman kerajaan lama ditindas dan terikat kepada tuan tanah. Pada zaman kerajaan pertengahan pula, pemerintah memberikan piagam liberal kepada estet pertanian. Pada zaman kerajaan akhir, petani diberikan kebebasan dan tanah oleh raja. Tanah kurniaan raja boleh diwarisi tetapi tidak boleh dipindah milik.

Selepas golongan profesional, terdapat golongan paling bawah iaitu terdiri daripada golongan rakyat biasa dan hamba. Dalam tamadun Mesopotamia, golongan ini dikenali sebagai hupshi. Hupshi terdiri daripada askar, petani, dan hamba. Golongan hamba terdiri daripada tawanan perang dan orang berhutang yang boleh dijual beli. Golongan hamba diberikan layanan yang baik dan dibenarkan untuk memiliki harat da mempelajari kemahiran-kemahiran tertentu. Pada zaman Babylon, muncul kelas sosial yang dikenali sebagai Mushkennum. Golongan Mushkennum terdiri daripada rakyat biasa yang miskin dan tidak menikmati sebarang keistimewaan.

Dalam tamadun Mesir Purba pula, golongan hamba juga diletakkan dalam golongan bawahan. Golongan hamba Mesir Purba memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi dan sosial. Hamba tidak mempunyai kebebasan dan terdiri daripada tawanan perang. Mereka bekerja diladang-ladang milik raja atau rumah berhala.

Kesimpulannya, kemuculan organisasi sosial melambangkan kemajuan yang berlaku dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Kewujudan organisasi sosial melambangkan ketinggian peradaban masyarakat Mesopotamia dan Mesir Purba.

1 comment:

  1. yay pagii^^siap nota..bandingan kaau baguus wo..hehe next nota malaam ni pulaak bab..thankkiu^^

    ReplyDelete