Saturday, August 14, 2010

TAMADUN DUNIA 8

CONTOH SOALAN:

TEMA 7: Soalan: bincangkan faktor-faktor penjelajahan dan penerokaan Portugal dan jelaskan perkembangan penjelajahan orang portugal sehingga abad ke-16.

Penjelajahan bermaksud mengelilingi atau berjalan ke merata-rata tempat atau daerah. Penerokaan pula bermaksud menyelidiki, menjelajah, menjalani, menempuh dan mengharungi segala persekitaran. Penjelajahan dan penerokaan kuasa-kuasa Barat pada abad ke-16 M diasaskan oleh tiga faktor utama, iaitu agama(Gospel), politik(Glory), dan ekonomi(Gold). Orang Portugis adalah bangsa terawal mempelopori pelayaran-pelayaran ke seberang laut pada abad ke-15 M.

Abad ke-15 M merupakan zaman keemasan bagi Portugal yang menyaksikan proses penjelajahan ke seberang laut untuk mencari keuntungan, kemegahan bangsa, raja dan negara serta menyebarkan agama Kristian. Antara faktor yang menyebabkan kejayaan ini ialah segi geografi. Ini kerana Portugal terdedah kepada pengaruh kelautan. Hal ini dibuktikan dengan pelayaran-pelayaran ke seberang laut oleh Portugal pada abad ke-15 M.

Selain itu, kapitalisme dan institusi perbankan menyebabkan keperluan untuk pasaran dan bekalan bahan mentah meningkat. Perkembangan sistem ekonomi kapitalisme mengalakkan kegiatan pengumpulan modal, hak milik persendirian dan persaingan dalam perniagaan. Ia juga menyebabkan Raja-Raja Negara Bangsa mempelopori perkembangan kapitalisme dengan tujuan mengaut kekayaan dan mengukuhkan kedudukan mereka.

Seterusnya, keadaan politik dan kekuasaan raja-raja di Portugal stabil berbanding Negara-negara Eropah lain. Raja-raja Portugak dari dinasti Avis (1383 M-1577 M) merupakan pemimpin yang berkaliber dan menggalakkan perdagangan dan perkapalan. Hal ini menyebabkan berlakunya perkembanganyang pesat dalam penjelajahan dan penerokaan bagi Negara Portugal.

Faktor lain yang menyebabkan penjelajahan dan penerokaan Portugal ialah perang Salib. Ekoran perang Salib, Paus merestui usaha membanteras kekuasaan sepenuhnya Semenanjung Iberia. Keadaan ini melahirkan masyarakat Eropah yang berfikiran terbuka, mempunyai cara pemikiran yang baru serta gaya hidup yang suka bersiar-siar dan belayar. Penaklukan wilayah Islam juga telah menyebabkan ilmu pelayaran Islam sampai kepada masyarakat Eropah dan membantu mereka menjelajah dunia luar.

Tambahan pula, kemajuan dalam penemuan-penemuan baru seperti carta pelayaran (peta), kompas, reka bentuk kapal, dan astrolabe mendorogn kepada penerokaan dan penjelajah. Dalam pembinaan kapal, orang Portugis mempunyai kemahiran membina kapal-kapal jenis Caravel seberat 2000tan. Kapal-kapal ini kuat dan mempunyai keupayaan mengharungi lautan luas.

Perkembangan penjelajahan orang portugis sehingga abad ke-16 M bermula dengan perdagangan hamba yang dilakukan oleh kapten-kapten yang dihantar oleh Putera Henry mendatangkan keuntungan. Menjelang tahun 1460 M, Portugis berjaya menguasai rangkaian pelabuhan-pelabuhan dari Madeira ke Cape Verda.

Seterusnya, kemunculan dua orang tokoh pelayar Portugis yang terulung, iaitu Diego Cam dan Bartholomew Diaz. Diego Cam belayar sejauh 1400 batu sepanjang pantai barat Afrika antara tahun 1482-1484 M. Pada tahun 1487 M, Bartholomew Diaz memulakan pelayaran dengan tiga buah kapal dan mengelilingi Tanjung Harapan.

Tambahan pula, Vasco de Gama melancarkan ekspidisi ke timur dengan empat buah kapal seberat 120 tan dan 180 orang pelaut. Pada tahun 1497 M, Vasco de Gama berjaya mengelilingi Tanjung Harapan dan belayar sepanjang pantai timur Afrika hingga ke Malindi. Kejayaan Vasco de Gama menyebabkan banyak kapal Portugis belayar ke timur untuk memperolehi lada hitam, sutera, batu permata dan rempah ratus.

Seterusnya, pada tahun 1504 M, Francisco d’Almedia dilantik sebagai wizurai Portugis. Beliau telah memulakan usaha-usaha menguasai jalan perdagangan dan menghapuskan monopoli perdagangan rempah oleh saudagar-saudagar Islam. Pada tahun 1505 M, Alfonso de Albuquerque dilantik sebagai wizurai. Beliau telah menjadikan Goa sebagai pusat pentadbiran. Dari Goa, Portugis meneruskan gerakan ke Asia Tenggara yang terkenal sebagai pusat pengeluaran rempah ratus.

Selepas itu, perkembangan penjelajahan orang Portugis diteruskan dengan satu angkatan Portugisyang diketuai oleh Lopez de Squera tiba di Melaka pada tahun 1508 M. Angkatan ini berundur dari Melaka setelah mengetahui rancangan Melaka menyerang mereka atas hasutan pedagang-pedagang Gujerat.

Konklusinya, faktor-faktor penjelajahan dan penerokaan Portugal telah banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan dari segi politik, ekonomi dan sosial. Perkembangan penjelajahan orang Portugis pula telah menyebabkan kepesatan kepada perdagangan, pengaruh dan empayar serta hubungan diplomatik antara Portugal dengan Negara lain.

1 comment: